Thursday, September 22, 2011

6 CARA MUDAH MENGUSAI BAHASA INGGERIS


Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang jika dilihat dari sudut sejarahnya, merupakan Bahasa Jerman timur yang diperkaya di England ketika era Anglo-Saxon. Ketika di dalam kelas Bahasa Melayu untuk pelajar sains, saya difahamkan bahawa Lingua Franca bagi orang-orang barat sekitar sebelum kurun ke-18 adalah Bahasa Perancis.

Bahasa Inggeris hanya tersebar luas selepas Inggeris melakukan perluasan empayar, yang mana Malaysia juga termasuk ke dalam wilayah yang dijajah oleh Inggeris. Ini mengakibatkan pertukaran sedikit demi sedikit Lingua Franca di wilayah-wilayah ini termasuklah Malaysia.



Natijahnya, Bahasa Inggeris mula menerima pengaruh yang semakin besar dan telah diikitiraf sebagai bahasa yang paling banyak dituturkan oleh penduduk di dunia. Sebagai seorang rakyat Malaysia, menguasai bahasa inggeris ini merupakan satu kelebihan kepada kita kerana, kehidupan seharian kita yang semakin lama semakin banyak terisi dengan bahasa ini.


Jadi, dalam artikel kali ini, saya akan mengetengahkan 6 cara mudah untuk kita belajar dan menguasai Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, usah sekali-kali kita lupa bahasa ibunda kita sendiri kerana bak kata pepatah “bahasa itu jiwa bangsa”. Artikel ini hanya merupakan tip umum dan jika anda kreatif, anda boleh menggunakannya untuk bahasa-bahasa lain pula.

Tip 1: Tonton filem dengan sari kata Bahasa Inggeris



Bagi anda yang selalu menonton filem-filem atau cerita animasi, anda digalakkan untuk menonton filem/dokumentari yang menggunakan Bahasa Inggeris atau filem-filem luar negara yang menggunakan sari kata Bahasa Inggeris. Elakkan daripada menggunakan sari kata Bahasa Melayu. Ini bertujuan agar anda dapat menambahkan vocabulary anda seterusnya berupaya membina tatabahasa. Namun, jangan pula terikut-ikut dengan ciri-ciri negatif yang ditayangkan oleh filem-filem ini. Cari filem yang sesuai dengan anda.


Tip 2: Games yang menggunakan Bahasa Inggeris



Jika anda merupakan gamers tegar, dalam konteks ini, permainan seperti DotA atau Pro Evolution Soccer mungkin tidak banyak membantu dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anda. Carilah permainan yang banyak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai satu daripada ciri-ciri permainan itu sendiri. Dengan ini, akan akan selalu membelek kamus bagi mengetahui maksud perkataan yang anda kurang fahami.


Tip 3: Salin perkataan beserta maksud


Salin perkataan dan maksud yang anda baru perolehi dan letakkannya di tempat yang selalu anda kunjungi. Jika di asrama, mungkin meja belajar anda adalah tempat yang paling sesuai. Di rumah pula, anda boleh tulis pada sticky notes, kemudian letakkannya di pintu peti sejuk atau meja komputer anda. Ini bertujuan agar anda sentiasa melihat perkataan tersebut dan proses ini akan lebih menguatkan daya ingatan anda terhadap Bahasa Inggeris.

Tip 4: Rahsia Semua Bahasa Adalah Praktik!

 

Sebenarnya, rahsia semua bahasa di dunia ini adalah praktikaliti. Jika anda sekadar mengetahui teori, tetapi tidak mempraktikkannya, anda tidak akan dapat menguasai bahasa tersebut, hatta bahasa itu merupakan bahasa yang paling mudah di dunia. Latihan demi latihan diperlukan agar anda dapat menguasai bahasa selain daripada bahasa ibunda anda.
Jika anda tidak tahu bagaimana untuk mempraktikkannya, atau anda malu untuk mengucapkan bahasa ini di hadapan orang lain. Tip ke-5 ‘cara mudah belajar Bahasa Inggeris’ ini mungkin dapat membantu anda.

 

Tip 5: Membuat latihan di hadapan cermin

 

Jika anda malu untuk menggunakan Bahasa Inggeris di hadapan orang ramai, anda boleh menggunakan cermin sebagai refleksi bagi menggambarkan anda sedang berkomunikasi dengan orang lain. Dengan menggunakan cermin sebagai refleksi orang lain, anda dapat menghilangkan perasaan gemuruh anda, seterusnya membina keyakinan anda dalam berbahasa Inggeris. 
Akan tetapi, jangan terlalu bergantung kepada cermin untuk membina keyakinan diri. Keyakinan daripada hasil latihan ini hanya berguna untuk anda mula berkomunikasi dengan orang lain dan ia tidak dapat membantu selamanya. Anda perlu juga sekali-sekali berhadapan dengan manusia sebenar yang boleh diajak berkomunikasi dalam bahasa ini.

Tip 6: Ubah Gaya Pemikiran Anda

 

Sebenarnya tip terakhir bagi artikel ’6 cara mudah menguasai bahasa inggeris’ ini merupakan kunci yang paling penting untuk anda menguasai Bahasa Inggeris. Anda perlu ubah dahulu pemikiran anda yang mengatakan bahawa, “Saya lemah/tidak boleh berbahasa inggeris“. Sekiranya anda dapat mengubah mind set ini, anda pasti dapat menguasai Bahasa Inggeris, percayalah. 
Jika anda dapat menguasai tip ke-6 ini, 5 tips terdahulu akan menjadi semakin mudah dan anda akan mula berasa seronok dalam mempelajari apa jua bahasa, terutamanya Bahasa Inggeris.